Rabi’ah binte Ismail Al-Adawiyah tergolong wanita sufi yang terkenal dalam sejarah Islam. Dia dilahirkan sekitar awal kurun kedua Hijrah didekat kota Basrah di Iraq. Dia dilahirkan dalam sebuah keluarga yang miskin dari segi harta namun kaya dengan ibadah dan keimanan kepada Allah. Ayahnya hanya bekerja mengangkut penumpang menyeberangi Sungai Dijlah dengan menggunakan sampan.
Pada akhir kurun pertama Hijrah, keadaan hidup masyarakat Islam dalam pemerintahan Bani Umaiyah yang sebelumnya terkenal dengan ketaqwaan mulai berubah. Pergaulan semakin bebas ,faham-faham jahiliyah kembali berkembang dan orang ramai berlomba-lomba mencari kekayaan. Justru kejahatan dan maksiat tersebar luas. Pekerjaan yang dilakukan masa jahiliyah semakin diagung-agungkan. Maka ketajaman iman mulai tumpul dan zaman hidup wara’ serta zuhud hampir lenyap sama sekali.
Namun begitu, Allah telah memelihara sebilangan kaum Muslimin agar tidak terjerumus ke dalam fitnah tersebut. Pada masa itulah muncul satu gerakan baru yang dinamakan Tasawuf Islami yang dipimpin oleh Hasan al-Bashri. Pengikutnya terdiri daripada lelaki dan wanita. Mereka menghabiskan waktu dan tenaga untuk mendidik jiwa dan rohani mengatasi segala tuntutan hawa nafu demi mendekatkan diri kepada Allah sebagai hamba yang benar-benar taat.
Bapak Rabi’ah merupakan hamba yang sangat bertaqwa, tidak tergila-gila pada kemewahan dunia dan tidak pernah letih bersyukur kepada Allah. Dia mendidik anak perempuannya menjadi muslimah yang berjiwa bersih. Pendidikan yang diberikannya bersumberkan al-Quran semata-mata. Rabi’ah sendiri begitu gemar membaca dan menghayati isi al-Quran sehigga bisa menghafal kandungan al-Quran. Sejak kecil Rabi’ah berjiwa halus, mempunyai keyakinan yang tinggi serta keimanan yang begitu mendalam.
Menjelang kedewasaannya, kehidupannya menjadi serba susah. Keadaan itu semakin buruk setelah beliau ditinggalkan ayah dan ibunya. Rabi’ah juga senantiasa mendapat ujian yang bertujuan membuktikan keteguhan iman kepada ALLAH. Ada riwayat yang mengatakan beliau telah terjebak dalam dunia maksiat. Namun dengan limpahan hidayah Allah, dengan asas keimanan yang belum padam di hatinya, dia dipermudahkan oleh Allah untuk kembali bertaubat. fase taubat inilah yang mungkin dapat menyedar serta mendorong hati kita memang sudah sepatutnya seorang hamba bergantung harap kepada belas kasihTuhannya.
apabila kesunyian tegah malam Rabi'ah akan ucapkan kata-kata ini kepada Allah:
“Ya Allah, ya Tuhanku. Aku berlindung diri kepada Engkau daripada segala yang ada yang boleh menjauhkan diri daripadaMu, daripada segala hijab yang menghijab antara aku dengan Engkau!
“Tuhanku, bintang-bintang telah menjelma indah, mata telah tidur nyenyak, semua pemilik telah menutup pintunya dan inilah dudukku di hadapanMu.
“Tuhanku! Tiada ku dengar suara binatang yang mengaum, tiada desiran pohon yang bergeser, tiada desiran air yang mengalir, tiada siulan burung yang menyanyi, tiada nikmatnya teduhan yang melindungi, tiada tiupan angin yang nyaman, tiada dentuman gemuruh yang menakutkan melainkan aku dapati semua itu menjadi bukti keEsaanMu dan menunjukkan tiada sesuatu yang menyamai-Mu.
“Sekalian manusia telah tidur dan semua orang telah lalai dengan asyiknya. Yang tinggal hanya aku yang banyak kesalahan di hadapanMu. moga-moga Engkau berikan suatu pandangan kepada aku yang akan menahan aku daripada tidur supaya dia dapat berkhidmat dan memuji Mu.”
Rabi’ah juga pernah meraung memohon belas ihsan Allah SWT:
“Tuhanku! Engkau akan mendekatkan orang yang dekat di dalam kesunyian kepada keagungan-Mu. Semua ikan di laut bertasbih di dalam lautan yang mendalam dan kerana kebesaran kesucian-Mu, ombak di laut bertepukan. Engkaulah Tuhan yang sujud kepadaNya malam yang gelap, siang yang terang, bulan yang menerangi malam, bintang yang berkerlipan dan setiap sesuatu di sisi-Mu dengan takdir sebab Engkaulah Tuhan Yang Maha Tinggi lagi Maha Perkasa.”
Setiap malam begitulah keadaan Rabi’ah. Apabila fajar menyinsing, Rabi’ah terus juga bermunajat dengan ungkapan seperti:
“Wahai Tuhanku! Malam yang akan pergi dan siang pula akan mengganti. Wahai malangnya diri! Apakah Engkau akan menerima malamku ini supaya aku berasa bahagia ataupun Engkau akan menolaknya maka aku diberikan takziah? Demi kemuliaan-Mu, jadikanlah caraku ini kekal selama Engkau menghidupkan aku dan bantulah aku di atasnya. Demi kemuliaan-Mu, jika Engkau menghalauku daripada pintu-Mu itu, nescaya aku akan tetap tidak bergerak juga dari situ disebabkan hatiku sangat cinta kepada-Mu.”
Sesuatu yang menarik tentang diri Rabi’ah ialah dia menolak lamaran untuk berkahwin dengan alasan:
“Perkahwinan itu memang perlu bagi sesiapa yang mempunyai pilihan. Adapun aku tiada mempunyai pilihan untuk diriku. Aku adalah milik Tuhanku dan di bawah perintahNya. Aku tidak mempunyai apa-apa pun.”
Rabi’ah seolah-olah tidak mengenali yang lain daripada Allah. Oleh itu dia terus-menerus mencintai Allah semata-mata. Dia tidak mempunyai tujuan lain kecuali untuk mencapai keridhaan ALLAH. Rabi’ah telah mempertalikan akalnya, pemikirannya dan perasaannya hanya kepada akhirat semata-mata. Dia sentiasa meletakkan kain kafannya di hadapannya dan sentiasa membalik-baliknya setiap hari.
Selama 30 tahun dia terus-menerus mengulangi kata-kata ini dalam sembahyangnya:
“Ya Tuhanku! Tenggelamkanlah aku di dalam kecintaanMu supaya tiada suatupun yang dapat memalingkan aku daripadaMu.”
Antara syairnya yang masyhur berbunyi:
“Kekasihku tiada menyamai kekasih lain biar bagaimanapun,
Tiada selain DIA di dalam hatiku mempunyai tempat manapun,
Kekasihku ghaib daripada penglihatanku dan peribadiku sekalipun,
Akan tetapi Dia tidak pernah ghaib di dalam hatiku walau sedetik pun.”
Tiada selain DIA di dalam hatiku mempunyai tempat manapun,
Kekasihku ghaib daripada penglihatanku dan peribadiku sekalipun,
Akan tetapi Dia tidak pernah ghaib di dalam hatiku walau sedetik pun.”
Rabi’ah telah membentuk satu cara yang luar biasa di dalam mencintai Allah. Dia menjadikan kecintaan pada Ilahi itu sebagai satu cara untuk membersihkan hati dan jiwa. Dia memulai pemahaman sufinya dengan menanamkan rasa takut kepada kemurkaan Allah seperti yang pernah diluahkannya:
“Wahai Tuhanku! Apakah Engkau akan membakar dengan api hati yang mencintai-Mu dan lisan yang menyebut-Mu dan hamba yang takut kepada-Mu?”
Kecintaan Rabi’ah kepada Allah berjaya melewati pengharapan untuk mendapatkan syurga Allah semata-mata.
“Jika aku menyembahMu kerana takut daripada api nerakaMu maka bakarlah aku di dalamnya! Dan jika aku menyembahMu kerana tamak kepada syurgaMu maka haramkanlah aku daripadanya! Tetapi jika aku menyembahMu kerana kecintaanku kepadaMu maka berikanlah aku balasan yang besar, berilah aku melihat wajahMu yang Maha Besar dan Maha Mulia itu.”
Begitulah keadaan kehidupan Rabi’ah yang ditakdirkan Allah untuk diuji dengan keimanan serta kecintaan kepada-Nya. Rabi’ah meninggal dunia pada 135 Hijrah yaitu ketika usianya menjangkau 80 tahun. semoga Allah meridhoinya.
*DARI :Berbagai Sumber
JELATANG
Salam Penuh Cinta Untuk Semua PeCinta-Nya
Tidak ada komentar:
Posting Komentar